PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam keras tindakan seorang wartawan portal media tempatan yang didakwa mengemukakan soalan tidak berasas dengan menyamakan hubungan kaum di Malaysia dengan penjajahan serta kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Insiden itu berlaku ketika sidang media kehadiran tokoh politik Britain, George Calloway, di Malaysia.
Setiausaha AMK, Omar Mokhtar A Manap menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan mencetuskan naratif yang tidak tepat serta berbahaya.
“Perbandingan itu adalah jahil dari sudut sejarah, fakta dan realiti sosial.
“Hubungan antara kaum di Malaysia tidak pernah dibina atas asas penjajahan, penindasan sistematik atau penghapusan identiti seperti yang dilakukan oleh Zionis Israel terhadap Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kemerdekaan negara dicapai hasil kesatuan rakyat pelbagai kaum yang bangkit menentang penjajahan asing, bukan melalui penindasan antara kaum.
“Sejarah membuktikan Melayu, Cina dan India pernah bersatu menentang penjajah British dan kemerdekaan dicapai melalui kerjasama serta kesedaran kolektif bahawa penjajahan asing perlu ditamatkan.
“Perbandingan yang menyamakan orang Melayu sebagai penjajah dan kaum lain sebagai pihak tertindas adalah satu manipulasi naratif yang berbahaya.
“Adalah tidak masuk akal untuk menyamakan penjajah Zionis Israel dengan mana-mana kaum tempatan di Malaysia.
“Penjajahan di negara ini dilakukan oleh entiti asing, bukan oleh rakyat sendiri,” katanya lagi.
Omar turut melahirkan rasa kesal terhadap kewujudan pihak yang masih membawa pemikiran rasis dan prejudis meskipun negara hampir mencapai 70 tahun kemerdekaan.
“Amat malang apabila masih ada pihak yang gagal meninggalkan cara fikir rasis dan sanggup mencetuskan perbandingan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” ujarnya.








