Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tampil menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap penyebaran maklumat yang tidak tepat oleh sebuah syarikat media berstatus arus perdana yang didakwa menggugat imej Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin, menyifatkan laporan yang tular itu memberi gambaran tidak bertanggungjawab dan ia juga telah dinafikan oleh Setiausaha Agung parti itu, Dr Fuziah Salleh.
“Penyebaran naratif bahawa pelantikan Datuk Seri Mohd Khalid dibuat atas dasar kepentingan politik adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
“Ia bukan sahaja mencemarkan reputasi parti, malah turut menjejaskan kredibiliti dan profesionalisme institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Sehubungan itu, AMK menegaskan beberapa pendirian utama, termasuk gesaan agar semua laporan berita dibuat dengan penuh ketelitian serta berdasarkan fakta yang sahih.
“Sebarang kesilapan fakta perlu diperbetulkan dengan segera, disertai dengan pengakuan dan permohonan maaf rasmi kepada Ketua Polis Negara serta Keadilan,” ujarnya.
AMK turut menggesa pihak pengurusan Sinar Harian untuk menjalankan siasatan dalaman serta mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana petugas yang didapati cuai atau gagal mematuhi etika kewartawanan.
“Kewartawanan bukan sekadar menulis, ia adalah peranan penting dalam membentuk persepsi dan menyebarkan kebenaran.
AMK menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan prinsip etika maklumat serta mendukung amalan kewartawanan yang bertanggungjawab,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar lebih berwaspada terhadap maklumat yang tular di media sosial dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Baca juga: