KUALA LUMPUR: Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, mempersoalkan komitmen UMNO dalam mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan susulan beberapa perkembangan politik yang menurutnya boleh menjejaskan kestabilan negara.
Beliau berkata, meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan rundingan berkaitan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan masih terbuka, tindakan dan pendirian parti itu menimbulkan persoalan mengenai keikhlasannya.
“Jika benar ikhlas, mengapa UMNO dilihat terus membuka ruang kepada ketidakstabilan politik?
“Terutamanya ketika negara dan dunia sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi serta ketidaktentuan global?” soalnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Nabil turut membangkitkan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika kerajaan negeri masih stabil dan mempunyai majoriti selesa.
Katanya, langkah itu sukar difahami memandangkan Barisan Nasional (BN) ketika itu menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN selain masih mempunyai baki tempoh pentadbiran sebelum tamat penggal.
“Malah timbul pula hasrat untuk bertanding secara solo walaupun kerjasama dalam Kerajaan MADANI khususnya di Johor telah memberi impak besar kepada pelaburan luar dan ekonomi negeri termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.
Beliau mendakwa ketegangan politik di Negeri Sembilan berpunca daripada percaturan kuasa oleh sebahagian pemimpin UMNO sehingga mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memerlukan mandat rakyat dikembalikan.
Nabil berkata, negara tidak seharusnya kembali mengulangi episod ketidakstabilan politik kerana kesannya akan dirasai rakyat dan ekonomi negara.
“Negara tidak boleh kembali kepada kitaran ketidakstabilan akibat perebutan kuasa jangka pendek.
“Kita juga tidak lupa bagaimana ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, UMNO memberi tekanan politik walaupun wujud persefahaman rentas parti melalui MoU bersama PH demi kestabilan negara pasca Covid-19,” ujarnya.
Menurut beliau, landskap politik negara hari ini memerlukan kerjasama antara parti kerana tiada lagi gabungan yang mampu mendominasi politik negara secara bersendirian.
Katanya, pendekatan kompromi yang diamalkan dalam Kerajaan Perpaduan telah membantu memulihkan ekonomi negara pasca pandemik selain mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
“Soalan saya kepada UMNO mudah, mahu terus membina negara secara bersama, atau terus mengulangi politik percaturan di masa krisis yang hanya mengorbankan rakyat dan ekonomi demi kuasa?” soalnya lagi.








