Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menumpukan pembiayaan bidang yang berimpak tinggi.
EXCO AMK Malaysia, Arshad Hassni berkata meskipun AMK menyokong usaha untuk memperkukuh keberkesanan pembiayaan pendidikan, PTPTN perlu berhati-hati dalam melaksanakannya supaya akses pelajar ke pendidikan tinggi tidak terjejas.

“PTPTN perlu memberi keutamaan kepada pembiayaan pendidikan dalam sektor strategik seperti peralihan tenaga, elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI) dan bidang-bidang berpotensi tinggi yang selari dengan keperluan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Langkah tersebut, menurut AMK, bertepatan dengan peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2025 untuk pelajar bidang STEM di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Penumpuan itu diharap membantu graduan mengelakkan bebanan hutang akibat ketiadaan peluang pekerjaan atau gaji rendah.
Selain itu, AMK turut menekankan keperluan membina tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang menjadi tulang belakang pasaran kerja semasa.

“Strategi pembiayaan berfokus ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, tetapi turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya.
Arshad turut percaya bahawa penstrukturan pembiayaan ke arah bidang strategik akan memberikan pulangan maksimum kepada pelaburan pendidikan, sekali gus menjamin kesejahteraan individu dan masyarakat.
Terdahulu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mencadangkan untuk menghentikan pembiayaan kursus universiti dengan kadar bayaran balik rendah.
Ia khusus buat kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang daripada 30 peratus.