AMK Puji Langkah Bijak, Bertanggungjawab Kerajaan MADANI

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan langkah terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghargaan tulus kepada rakyat Malaysia yang terus menjadi nadi kekuatan negara.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen penuh Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat diutamakan tanpa menjejaskan kemajuan ekonomi negara.

“Sejak 2023, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan KDNK 4.4 peratus suku pertama 2025 dan unjuran 4.5 peratus pada suku kedua.

“Malaysia melonjak ke kedudukan ke-23 Indeks Daya Saing Dunia 2025, pelaburan diluluskan mencatat RM384 bilion, manakala Ringgit mengukuh lima peratus ke paras RM4.23 berbanding USD,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan langkah-langkah konkrit yang membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, antaranya kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, penurunan kadar pengangguran ke 3.0 peratus dan bantuan STR dan SARA berjumlah RM15 bilion.

Antara lain, katanya, bantuan tunai SARA sebanyak RM100 kepada setiap warganegara dewasa bermula 31 Ogos 2025, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, penangguhan kenaikan harga tol dan peluasan program Jualan Rahmah Madani dengan peruntukan RM600 juta.

Di peringkat akar umbi, Danish berkata, Kerajaan MADANI turut memperkukuh program Sejati Madani dengan peruntukan sehingga RM100,000 bagi setiap komuniti untuk menjana aktiviti ekonomi setempat.

Setakat ini, katanya, lebih 8,600 projek komuniti telah berjaya direalisasikan.

Mengulas lanjut, Danish menyatakan keyakinan bahawa inisiatif itu bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi tetapi juga menjaga keperluan rakyat secara berterusan.

“Bantuan tunai, kenaikan gaji minimum, penurunan kadar pengangguran dan subsidi bersasar adalah bukti keberanian kerajaan membawa reformasi yang berpihak kepada rakyat.

“AMK yakin agenda MADANI terus memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menyeru semua pihak menyokong usaha pembaharuan ini,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat