AMK Pulau Pinang Tolak Cadangan Tukar Nama Jalan Pantai Bersih

GEORGE TOWN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menegaskan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane, seperti yang dicadangkan , Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.

Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, berkata nama Jalan Pantai Bersih telah lama sebati dengan penduduk setempat serta mencerminkan identiti, sejarah dan memori kolektif masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa penukaran nama jalan tanpa keperluan mendesak hanya akan mengelirukan penduduk dan menimbulkan ketidakselesaan awam, terutama bagi mereka yang telah lama menetap di kawasan berkenaan.

“Cadangan itu dilihat tidak inklusif dan tidak munasabah, kerana ia langsung tidak mencerminkan keutamaan rakyat yang kini lebih memerlukan perhatian terhadap isu kos sara hidup, perumahan dan kebajikan.

“AMK yakin bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang akan mengambil kira sentimen rakyat setempat sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan cadangan berkenaan.

“Keputusan ini penting bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum serta menghormati sejarah dan identiti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Zakwan menegaskan bahawa AMK akan terus mempertahankan kepentingan rakyat dan menolak sebarang tindakan simbolik yang tidak memberi manfaat nyata kepada masyarakat.

Beliau menambah, fokus kerajaan dan pihak berkuasa seharusnya diberikan kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, daripada menumpukan kepada cadangan yang bersifat simbolik semata-mata.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat