PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah tampil dengan kenyataan tegas berhubung dakwaan wujudnya usaha mendapatkan sokongan atau campur tangan pihak luar dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Malaysia.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, tindakan membawa kuasa asing ke dalam urusan dalaman negara adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap rakyat dan kedaulatan negara.
“Sebarang tindakan yang cuba membawa campur tangan asing ke dalam urusan dalaman negara merupakan perbuatan yang mencabar kedaulatan, merosakkan institusi demokrasi serta mengkhianati mandat rakyat,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, bebas dan tegas terhadap semua dakwaan tersebut tanpa sebarang perlindungan kepada mana-mana pihak.
Zaidi turut menekankan bahawa perubahan kerajaan mestilah berlaku melalui saluran demokrasi yang sah, selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak rakyat.
“Kami menegaskan bahawa sebarang perubahan kerajaan mestilah berlaku melalui saluran demokrasi yang sah, bukannya melalui konspirasi, tekanan luar atau permainan kuasa di belakang tabir,” katanya lagi.
Beliau berkata, AMK Sabah komited untuk terus mempertahankan demokrasi, kestabilan negara serta kepentingan generasi muda, sambil menolak sebarang bentuk pengkhianatan terhadap kedaulatan Malaysia.








