AMK Santuni Belia Sabah, Buka Ruang Dialog Dua Hala

PETALING JAYA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Parti Keadilan Rakyat bersama AMK Sabah dengan sokongan GeneraZ telah menganjurkan program santai ‘Kupi-Kupi Bah Dulu’ di Anjung Selera Tanjung Lipat yang bertujuan merapatkan hubungan dengan golongan belia Sabah melalui pendekatan yang inklusif dan kreatif.

Program yang berlangsung meriah itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti edaran 100 kopi percuma, pertandingan ‘The Voice Borneo’, tayangan wayang pacak, cabutan bertuah serta sesi Dialog Urang Muda (DUM) yang menjadi tumpuan utama.

Pengarah program, Nurhanani Dhamirah Razaleh berkata, inisiatif itu bukan sekadar hiburan tetapi wadah untuk menyantuni belia dan mengetengahkan bakat baharu di Sabah.

“AMK mahu memastikan suara belia sentiasa didengari.

“Program ini juga wadah untuk kita meraikan minat anak muda serta menyokong potensi mereka,” katanya.

Menurut beliau, sesi DUM membuka ruang dialog dua hala yang membincangkan isu pembangunan belia, pendidikan, digitalisasi dan komunikasi.

Antara panel jemputan ialah personaliti TV Enn Xaviera, Ketua AMK Sabah Zaidi Jatil dan mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Roslan Abdullah.

Kata Nurhanani, DUM merupakan inisiatif Jabatan Komunikasi AMK Malaysia yang bertujuan menyediakan platform interaktif antara pimpinan politik dan anak muda Sabah, agar suara mereka lebih didengari dan difahami.

Katanya, penganjuran turut mendapat kerjasama daripada Biro Media Baharu dan Biro Pendidikan AMK serta penglibatan aktif ketua penerangan dan pengarah komunikasi AMK cabang di seluruh Sabah.

Anda Mungkin Berminat