AMK tekad santuni belia secara agresif pada PRK Kuala Kubu Baharu

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) tekad memastikan jentera akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik dan akan mengoptimumkan kapasiti jentera pilihan raya.

AMK menerusi satu kenyataan berkata, jentera sokongan dari seluruh negara juga telah pun diarahkan untuk turun ke Kuala Kubu Bharu untuk membantu.

“Sepanjang tempoh kempen, AMK akan berkampung di beberapa kawasan tumpuan dan fokus untuk mendekati golongan belia dari pelbagai latar.

“Isu tumpuan bagi kerja-kerja penerangan adalah pembangunan dan isu setempat di samping persoalan peringkat nasional khususnya yang menyentuh soal perpaduan masyarakat, kepesatan ekonomi dan inisiatif Kerajaan Madani selain menangkis fitnah dan propaganda pembangkang,” katanya.

Sementara itu, kempen yang digerakkan oleh sayap pemuda kali ini akan digerakkan sendiri secara mandiri tanpa bergantung kepada jentera kerajaan.

“Kami yakin dengan kekuatan akar umbi parti yang bersedia untuk mengekalkan kemenangan di DUN Kuala Kubu Bharu.

“Kami yakin, golongan belia di Kuala Kubu Baharu mampu untuk menjelmakan diri sebagai sebuah kelompok generasi muda yang rasional, berpengetahuan, demokratik, dan matang dalam mendepani suasana politik yang runcing sekarang,” jelasnya.

Tambah AMK, mereka yakin bahawa aspek kesederhanaan adalah elemen penting dalam kita mendepani semua isu yang berbangkit agar ianya dapat ditangani dengan cermat, harmoni dan penuh semangat perpaduan.

Processed with VSCO with g6pro preset

Difahamkan, Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK yang berlangsung pada Sabtu lalu telah membuat ketetapan terkait dengan PRK Kuala Kubu Baharu.

Susulan itu, Izuan Kassim yang juga merupakan Ketua AMK Negeri Selangor telah dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil (PRK) DUN N.06 Kuala Kubu Baharu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat