Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyeru kerajaan konsisten dan tidak berubah untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan susulan konflik tuntutan wilayah yang semakin memuncak.
Ketua Biro Undang-Undang AMK Selangor, Khairul Naim Rafidi menyatakan sokongan terhadap ketegasan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memutuskan untuk meneruskan operasi eksplorasi minyak dan gas di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, walaupun mendapat bantahan dari China.
“Kedaulatan negara dan hak maritim kita tidak boleh dikompromi,” tegasnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ia susulan daripada kebocoran Nota Diplomatik dari Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing yang mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah di bawah kedaulatan China.
Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan terutama apabila Malaysia berkongsi wilayah tersebut dengan beberapa negara lain seperti Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam.
Isu tersebut bertambah serius apabila semalam tular laporan bahawa China membantah tindakan Malaysia meneroka minyak dan gas di perairan EEZ Malaysia di Sarawak.
Menurut sumber, Kementerian Luar Negeri kini sedang menyiasat kebocoran nota diplomatik yang dipercayai dihantar pada Februari lepas.
“Kita tidak boleh membiarkan kesilapan seperti isu Batu Puteh berulang,” ujarnya, merujuk kepada pertikaian maritim terdahulu.
Khairul Naim turut menegaskan bahawa tindakan mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia selari dengan Peta Malaysia 1979 dan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Melihat kepada sikap China yang semakin agresif, dia juga menggesa kerajaan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan untuk menyelesaikan konflik ini.
“ASEAN adalah platform terbaik untuk membincangkan dan mencari penyelesaian demi kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” tambahnya.
Baca juga: