AMK Selangor pertahan tindakan PKR keluar surat tunjuk sebab kepada Rafizi

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq, tampil mempertahankan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut beliau, tindakan parti itu wajar memandangkan Rafizi didakwa berulang kali mengkritik parti serta kepimpinan tertinggi termasuk Presiden secara terbuka menerusi pelbagai platform media dan podcast.

“Mengkritik itu hak, namun apabila ia dibuat berterusan sehingga memberi gambaran negatif seolah-olah parti bermasalah secara menyeluruh, organisasi berhak mempertahankan disiplin serta struktur dalaman,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Beliau menegaskan parti politik bukan platform bebas tanpa peraturan, sebaliknya mempunyai perlembagaan dan lembaga disiplin yang perlu dihormati semua anggota.

Muhammad Iman turut membandingkan situasi itu dengan tindakan disiplin yang pernah dikenakan terhadap Khairy Jamaluddin oleh United Malays National Organisation (UMNO), dengan menyatakan setiap tindakan dalam politik mempunyai implikasi tersendiri.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan surat tunjuk sebab bukan satu hukuman, sebaliknya peluang untuk menjelaskan keadaan.

“Jika benar mahu berbeza haluan atau bertanding atas tiket lain pada pilihan raya akan datang, itu hak peribadi. Namun jangan digambarkan seolah-olah parti tidak pernah berjasa atau seakan-akan dizalimi hanya kerana organisasi melaksanakan tanggungjawab menjaga disiplin,” katanya.

Beliau menegaskan PKR adalah sebuah perjuangan kolektif yang dibina oleh ribuan ahli di pelbagai peringkat dan tidak bergantung kepada mana-mana individu semata-mata.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat