AMK Selangor senada Pemuda PAS Selangor desak putuskan hubungan bersama Bersatu

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Dalam situasi negara yang memerlukan kestabilan politik, PAS disarankan untuk mula memutuskan hubungan bersama parti komponennya iaitu Bersatu.

Kenyataan itu dilontarkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Muhammad Iman Haziq yang turut senada dengan gesaan Pemuda PAS Selangor yang mahu memutuskan hubungan bersama Bersatu.

Beliau yang ketika ini sedang memerhati gejolak hubungan antara PAS dan Bersatu yang kini makin meledak ke ruang awam yang yang memberi isyarat jelas bahawa masa depan negara tidak boleh dipertaruhkan di tangan gabungan yang rapuh dan saling mencurigai.

“Bersatu bukanlah parti asing dengan siri pengkhianatan, sejarah jelas mencatatkan Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat kini episode yang hampir sama berulang melalui apa yang boleh disifatkan sebagai “Langkah Perlis”.

“Langkah yang cuba dikatakan Bersatu sebagai luka kecil itu jelas memperlihatkan politik sempit parti bunga raya tersebut yang lebih tergoda dengan ketamakan kuasa berbanding semangat setiakawan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu katanya, kini sudah tiba masanya Pas mempertimbangkan satu langkah yang lebih matang dan bertanggungjawab dengan menyertai Kerajaan Perpaduan.

Katanya, kerajaan ketika ini sememangnya mempunyai kestabilan jangka panjang serta tenaga politik yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan bukan menghabiskan masa mengkhianati dan menikam belakang sesama sendiri.

Ujar beliau lagi, langkah menyertai Kerajaan Perpaduan bukan bermaksud PAS mengalami kemenangan atau kekalahan dalam sudut politik, namun ia akan memperlihatkan bahawa PAS merupakan parti yang berjiwa besar sesuai dengan usia matangnya yang bakal menjengah hampir 75 tahun di negara ini.

“Sudah tiba masanya Pas meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan berbanding agenda kuasa peribadi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar memaklumkan bahawa pihaknya mendedak kepimpinan PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Sukri Omar turut menyifatkan kerjasama PAS dan Bersatu yang sedia ada itu tidak membawa manfaat kepada perjuangan parti itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat