AMK sifatkan wajar kritik keras Kulasegaran

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan adalah satu tindakan wajar untuk mengkritik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran kerana tindakannya yang mengiringi Orang Kena Tuduh (OKT) Arun Dorasamy ke Mahkamah.

Menerusi kenyataan di laman rasmi X, Kamil Munim mempersoalkan tindakan Kulasegaran yang mengiringi aktivis penuh kontroversi itu sebagai pemimpin besar kerajaan dan bukannya wakil mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Dia adalah Timbalan Menteri Undang-Undang dan bukan ketua biro perundangan mana-mana punya NGO.

“Tergamak ya, kamu boleh muncul bersama Orang Kena Tuduh (OKT),” katanya.

Sebelum ini, rata-rata rakyat Malaysia di laman X tampil mengkritik keras tindakan Kulasegaran dan beberapa peguam lain tiba di Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal kerana dituduh membuat kenyataan dengan niat menyebabkan kegentaran awam di media sosial pada tahun lepas.

Arun yang berumur 56 telah, didakwa membuat kenyataan di akaun Instragram miliknya yang dilihat dan didengar oleh seorang individu yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan dalam daerah Seberang Perai Selatan, pada pukul 3.45 petang, 12 Mac 2025.

Anda Mungkin Berminat