KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu konflik Timur Tengah yang disifatkan kekal konsisten memperjuangkan prinsip keadilan, hak asasi manusia dan kedaulatan negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Jefferi melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di rantau berkenaan terutama tindakan provokatif rejim Israel terhadap negara-negara lain termasuk Iran serta serangan tidak berperikemanusiaan yang berterusan ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Menurutnya, AMK turut menyoroti perkembangan terbaru berhubung keputusan Parlimen Iran untuk menutup Selat Hormuz, langkah yang dikhuatiri menjejaskan kestabilan ekonomi global dan mencetus campur tangan kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
“Israel perlu dihentikan daripada terus melakukan tindakan agresif terhadap negara lain dan rakyat Palestin.
“Keganasan ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” tegasnya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera dan berkesan demi menghentikan kekejaman yang berlaku.
“Malaysia tidak boleh membisu apabila kezaliman berlaku di hadapan mata dunia.
“Kita perlu terus bersuara mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya lagi.
Arief Jefferi turut menyeru generasi muda Malaysia agar terus memperjuangkan keamanan sejagat dan menolak segala bentuk kezaliman, penjajahan serta ketidakadilan.