Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu telah menyampaikan sumbangan tunai dan sokongan moral kepada keluarga lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang tular di media sosial baru-baru ini akibat dipukul orang ramai di pasar tani Padang Astaka Chukai, Kemaman.
Ketua AMK Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly berkata, sumbangan itu bertujuan untuk meringankan kesedihan yang menimpa keluarga mangsa.
“Semasa menziarahi keluarga, saya dapat lihat keluarga terkesan daripada segi emosi. Nampak jelas isteri sedih dan tidak cukup rehat.
“Sebak rasa apabila mendengar cerita mereka. Keluarga orang yang baik,” katanya menerusi satu ciapan di laman X.
Pada Jumaat lalu, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai telah direman selama tiga hari bermula Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.
Setakat ini, lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut manakala tiga saksi awam turut dipanggil untuk diambil keterangan.
Baca juga: