KUALA LUMPUR: Kejayaan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan membuktikan ASEAN kekal diyakini dan dihormati kuasa besar dunia, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, kedudukan ASEAN kini semakin disegani bukan hanya kerana kestabilan serantau, tetapi juga disebabkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan potensi besar untuk kerjasama strategik.

“Ramai negara kini menunggu giliran untuk menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) sebagai langkah pertama untuk menjadi rakan ASEAN.
“Daripada lima negara pengasas, kini ASEAN mempunyai 10 anggota, dan Oktober ini akan menjadi 11 dengan penyertaan rasmi Timor-Leste. Banyak juga negara mohon untuk jadi rakan sektoral dan dialog,” katanya dalam sidang media sempena AMM-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Mohamad berkata meskipun ASEAN kini mempunyai moratorium bagi permohonan rakan dialog baharu, namun pendekatan fleksibel tetap diguna pakai jika penyertaan negara tersebut mampu memberi nilai tambah kepada ASEAN.
“Kalau negara itu boleh menyumbang secara strategik, ASEAN akan pertimbang untuk menerima mereka,” jelasnya.
Sepanjang AMM-58 berlangsung, sebanyak 21 mesyuarat dengan rakan strategik ASEAN telah diadakan, termasuk Persidangan Keempat Kerjasama antara Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV).
Dalam masa sama, Mohamad turut mengadakan 15 mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari pelbagai negara seperti China, AS, UK, Jepun, Palestin, Brunei, Australia, dan Turkiye.
“Kami membincangkan pengukuhan hubungan dua hala serta isu antarabangsa yang menjadi keutamaan bersama,” katanya.
Mengulas mengenai proses penyertaan Timor-Leste, beliau berkata mesyuarat AMM telah mengambil maklum kemajuan semasa berkaitan prosedur teknikal dan undang-undang.
“AMM turut meluluskan Garis Panduan untuk memudahkan penyertaan Timor-Leste ke dalam semua instrumen undang-undang ASEAN yang berkaitan di bawah bidang kuasa AMM.
“Timor-Leste juga digalakkan mengambil tindakan segera untuk menyertai kesemua instrumen tersebut,” katanya.
Baca juga: