AMM ke-58: Malaysia tegas komitmen agenda hak asasi manusia serantau

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan pendirian untuk komited memperjuangkan agenda hak asasi manusia serantau menerusi sesi pertama Sidang Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) hari ini.

Mempertemukan para Menteri Luar ASEAN bersama wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), sesi gemilang itu berlangsung di Menara Berkembar, KLCC dekat sini dan dipengerusikan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta Timor-Leste sebagai pemerhati.

Dalam ucapan, Muhammad memaklumkan Malaysia menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi tuan rumah sekali gus medan perbincangan strategik mengenai kedudukan hak asasi manusia dalam kerangka pembinaan Komuniti ASEAN.

“Seperti yang semua sedia maklum, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini berteraskan kepada nilai Keterangkuman dan Kelestarian.

“Tema ini berpaksikan kepercayaan kami bahawa masa depan ASEAN harus dibina atas kerangka kerja yang inklusif, lestari dan berorientasikan masa hadapan. Satu kerangka yang meletakkan rakyat ASEAN sebagai nadi utamanya,” katanya.

Pertemuan itu berlangsung membincangkan konteks pelaksanaan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama kita, yang diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada baru-baru ini.

Muhammad turut menjelaskan dokumen strategik yang merentas negara itu menekankan kepentingan pemajuan dan perlindungan hak asasi manusia sebagai komponen asas dalam integrasi serantau.

“Deklarasi-deklarasi ini mengetengahkan kebimbangan mendesak rakyat kita, terutamanya mereka yang terdedah kepada kerosakan alam sekitar, ketidaksamaan dan ketidakstabilan.

“Ia mengukuhkan lagi komitmen teguh AICHR dalam memajukan hak asasi manusia di ASEAN, dengan menangani cabaran semasa dan masa hadapan secara tepat dan relevan,” ujarnya.

Kata beliau lagi, ASEAN kini menanti laporan daripada wakil-wakil AICHR mengenai ‘Laporan Tahunan 2025.

“Ini merupakan peluang bagi para Menteri untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pencapaian, cabaran serta halatuju AICHR dalam memajukan hak asasi manusia di rantau ini.” tambah beliau.

Pada masa sama, beliau berharap segala usaha dan mekanisme berhubung perkara itu dapat terus berkembang, memperkukuh keupayaan untuk menghasilkan kesan yang berimpak serta memupuk penglibatan yang bermakna sambil mengekalkan keutamaan dan kesepaduan ASEAN.

“Usaha-usaha ini penting untuk memajukan hak asasi manusia dan kerjasama serantau, sejajar dengan komitmen nasional dan antarabangsa oleh Negara-Negara Anggota ASEAN.

“Usaha kita untuk mempromosikan dan melindungi kesejahteraan rakyat kita haruslah diterajui dan dimiliki oleh ASEAN sendiri. Ia harus mencerminkan nilai dan norma Negara-Negara Anggota, sambil memastikan keselarasan dengan Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD),” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat