Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN | Kerajaan terus komited memulihkan akidah dan kebajikan ahli-ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) melalui pelbagai inisiatif holistik.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mendedahkan bahawa anak-anak GISBH yang berada di rumah perlindungan kini telah menjalani persekolahan secara formal, suatu langkah penting dalam memastikan masa depan mereka lebih terjamin.

“Langkah ini adalah bukti usaha kerajaan untuk memastikan anak-anak tidak terpinggir dalam pendidikan walaupun keluarga mereka terlibat dalam program pemulihan.
“Ini bukan sahaja soal pemulihan akidah, tetapi juga soal melindungi masa depan generasi muda yang menjadi harapan negara,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Ia susulan daripada seramai 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH yang dilindungi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, projek rintis yang dilancarkan pada 7 November lalu di rumah pemulihan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggunakan modul Istitabah telah menjadi asas kepada program rehabilitasi yang lebih menyeluruh.
Program itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk JAKIM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JKM.
Modul yang digunakan merangkumi aspek pemulihan akidah dan syariah, pendidikan, kaunseling serta latihan kemahiran.
“Penilaian dilakukan setiap 30 hari untuk memastikan keberkesanan program dan kebajikan ahli sentiasa terjaga,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, kebajikan keluarga ahli GISBH turut diberi perhatian.

JAKIM bersama agensi seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mengurus bantuan kewangan kepada golongan yang memenuhi kriteria asnaf.
Bantuan tersebut termasuk untuk kategori al-Riqab, yang khusus bagi mereka yang ingin dibebaskan daripada belenggu fahaman sesat.
Selain itu, kerjasama JAKIM dan Jabatan Penjara Malaysia juga akan memperkenalkan modul pemulihan akidah khusus kepada tahanan GISBH.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mengenai pemulihan akidah dan kebajikan ahli GISBH.
Baca juga: