Anak ayam jadi ‘door gift’ kenduri undang kecaman

TINDAKAN tuan rumah sebuah majlis perkahwinan di Kampung Sungai Malau, Selama, Perak yang menjadikan anak ayam berwarna sebagai hadiah ‘door gift’ telah mengundang kecaman ramai pihak.

Menurut Badan Bukan Kerajaan (NGO) Stray Free Foundation di laman X pada Selasa, menegaskan bahawa perbuatan itu bercanggah dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) kerana menjadikan haiwan sebagai hadiah dikategorikan sebagai eksploitasi malah gagal menjaga kebajikan haiwan.

“Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), menjadikan haiwan peliharaan sebagai door gift adalah kesalahan kerana ia termasuk dalam kategori eksploitasi & kegagalan menjaga kebajikan haiwan,” katanya.

Insiden berkenaan turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila ramai pengguna aplikasi X menyifatkan ia sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan hanya mementingkan hiburan semata-mata.

Seorang pengguna di laman X iaitu @nrqlhkarim membalas ciapan dan tidak boleh membayangkan bagaimana ada segelintir pihak yang sanggup menjadikan haiwan sebagai barang pemberian secara umum tanpa tujuan yang benar-benar memerlukan.

“Takleh bayangkan bagi doorgift entah apa-apa macam ini.

“Haritu ikan laga, ni anak ayam warna-warna pulak.

“Ingat hebat agaknya macam dah tiada benda lain nak bagi.”katanya.

Sementara itu, pengguna @maryammikayla meluahkan rasa simpati terhadap nasib anak ayam tersebut yang diletakkan dalam kotak bertutup.

“Kesiannyaa, dah laa kotak bertutup gitu. Itu nyawa tau bukannyaa benda mainan. Macam mana boleh terfikir nak main dgn nyawa gitu??” tulisnya.

Pengguna lain, @Inevitabletara pula menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan bodoh dan zalim walaupun mungkin dilihat unik oleh sesetengah pihak.

Susulan kecaman yang meluas, NGO itu mengingatkan masyarakat agar tidak menjadikan haiwan sebagai ‘door gift’ atau barangan hiburan dalam apa jua bentuk majlis.

Anda Mungkin Berminat