Anak Jati Pulau Pinang Tempat Kelima Dunia, Pertandingan Piano Antarabangsa

WARSAW: Malaysia melakar sejarah baharu dalam dunia muzik klasik apabila Vincent Ong, anak jati Pulau Pinang, berjaya meraih tempat kelima dalam Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin di Warsaw, Poland yang merupakan sebuah pentas yang digelar ‘Mount Olympus of the music world’ kerana prestijnya yang tiada tandingan.

Pertandingan yang berlangsung setiap lima tahun itu merupakan antara empat pertandingan piano paling berprestij di dunia, hanya menampilkan karya agung komposer Poland, Fryderyk Chopin.

Vincent, 24, bukan sahaja menjadi peserta Malaysia pertama mara ke peringkat akhir, malah berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik dunia, mengatasi ratusan peserta dari 28 negara.

Kejayaan Vincent bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi satu detik bersejarah buat Malaysia.

Vincent memulakan latihan muziknya di Malaysia sebelum melanjutkan pengajian di Jerman dan berguru dengan beberapa maestro antarabangsa.

Persembahannya di Warsaw dipuji kerana kehalusan teknik, kedalaman emosi dan interpretasi yang menyentuh jiwa.

Kejayaan beliau membuka lembaran baharu buat bakat-bakat muda Malaysia dalam bidang muzik klasik, membuktikan bahawa dengan dedikasi dan semangat, pentas dunia bukanlah mustahil.

Anda Mungkin Berminat