Analisis | Sejarah, Kolonialisme Dan AI: Amaran Anwar Tentang Hilangnya Arah Bangsa

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | Pelancaran Majlis Sejarawan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi isyarat bahawa naratif sejarah kini menjadi sebahagian penting dalam gagasan Malaysia Madani.

Namun lebih daripada itu, ucapan Anwar menyentuh sisi yang jarang dikaitkan dengan wacana teknologi: hubungan rapuh antara kecerdasan buatan (AI), identiti bangsa, dan nilai sejarah.

Anwar menegaskan bahawa dalam arus deras digital, Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna yang menyalin pandangan asing.

Katanya, teknologi hanya akan bermakna jika ia berpaksikan budaya, bahasa dan sejarah sendiri.

“Jika kita sekadar menyalin pandangan asing tanpa mempertahankan identiti dan warisan sendiri, kita akan hilang arah,” katanya.

Bagi Anwar, sejarah bukan sekadar catatan masa lalu tetapi medan untuk menilai akar peradaban dan mengenal kekuatan identiti.

Beliau mengingatkan tentang peranan tokoh seperti Ibn Khaldun yang menekankan ibrah sejarah, dan bagaimana pertembungan Islam dan Eropah dibaca oleh sejarawan Henri Pirenne dalam membentuk tradisi moden.

Pandangan ini meletakkan sejarah bukan sebagai pelengkap, tetapi sebagai penentu arah kemajuan.

Dalam konteks AI dan dunia digital, mesejnya jelas: tanpa roh dan jiwa bangsa, teknologi hanyalah alat tanpa makna.

Kolonialisme dan naratif bangsa

Ucapan itu juga mengangkat dimensi kritis terhadap sejarah kolonial.

Anwar menyebut bagaimana kolonialisme membentuk pemahaman bangsa menerusi tokoh seperti Stamford Raffles, Snouck Hurgronje, Macaulay dan Cromer.

Mesej yang tersirat: sebagaimana penjajah pernah mencorakkan naratif untuk melemahkan bangsa, era AI dan globalisasi berisiko mengulangi corak yang sama jika Malaysia hanya bergantung pada wacana luar.

Di sinilah letaknya tugas Majlis Sejarawan Negara merumuskan semula naratif berasaskan pengalaman bangsa sendiri.

Makna Untuk Malaysia Madani

Anwar juga mengingatkan bahawa tamadun tidak akan tegak dengan teknologi semata-mata.

Kecanggihan AI, kata beliau, harus ditopang oleh budaya, sejarah, serta pemikiran yang membumi.

“Teknologi hanya akan bermakna jika ia berpaksikan nilai,” katanya, sambil menekankan bahawa sastera dan budaya adalah tiang seri tamadun Malaysia.

Pelancaran Majlis Sejarawan Negara ini memberi gambaran bahawa kerajaan mahu menjadikan sejarah sebagai ‘counterbalance’ kepada obsesi ekonomi dan teknologi.

Dalam gagasan Malaysia Madani, sejarah dilihat bukan nostalgia, tetapi instrumen untuk menegakkan maruah bangsa dalam dunia yang semakin dikawal oleh data, algoritma dan kuasa teknologi global.

Persoalannya: sejauh mana institusi baru ini mampu mengangkat naratif alternatif, dan bukan sekadar mengulangi sejarah sebagai ritual hafalan?

Jawapan itu akan menentukan sama ada amaran Anwar tentang “hilang arah” dalam dunia digital hanyalah retorik, atau benar-benar membuka lembaran baru dalam pembinaan jati diri bangsa.

***Penulis adalah bekas pensyarah bahasa dan tamadun, juga bekas ketua pengarang Suara Keadilan

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat