PETALING JAYA: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi amaran mengenai penularan gerakan kultus agama dari Korea Selatan yang semakin agresif menyasarkan golongan belia dan pelajar universiti khususnya di sekitar Lembah Klang.
Dalam kenyataan itu, kumpulan terbabit dilaporkan menggunakan modus operandi licik dengan berselindung di sebalik aktiviti kebajikan, seminar psikologi, kelab kebudayaan antarabangsa serta jemputan ke kelas ‘kajian Bible’ bagi merekrut ahli baharu.
Pejabat Mufti menegaskan gerakan sebegini wajar diklasifikasikan sebagai ancaman keselamatan sosial serius kerana bukan sahaja menyebarkan ajaran menyeleweng, malah berpotensi merosakkan institusi kekeluargaan serta keharmonian masyarakat.
“Kita tidak boleh memandang ringan strategi halus yang digunakan kumpulan ini kerana sejarah membuktikan gerakan kultus mampu membawa kesan tragis terhadap nyawa, keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut merujuk kepada beberapa tragedi besar akibat kultus ekstrem di seluruh dunia termasuk insiden Jonestown pada 1978 yang mengorbankan ribuan pengikut, serangan gas beracun oleh Aum Shinrikyo di Jepun pada 1995 serta peranan gerakan Shincheonji di Korea Selatan dalam penyebaran wabak Covid-19.
Pejabat Mufti berkata, kejayaan kultus itu menarik pengikut muda berpunca daripada manipulasi psikologi, antaranya menanam ketakutan terhadap kiamat, dakwaan pemimpin memiliki tafsiran rahsia kitab suci serta penggunaan teknik ‘love bombing’ untuk mengawal emosi dan pemikiran mangsa.
Dalam konteks Islam, kenyataan itu menegaskan bahawa konsep Nabi Muhammad SAW sebagai penutup para nabi menjadi benteng utama menolak sebarang dakwaan wahyu baharu.
Prinsip Maqasid Syariah pula menuntut pemeliharaan akal, agama dan keamanan sosial sebagai asas perlindungan masyarakat daripada ancaman sebegini.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyeru masyarakat, ibu bapa dan pihak berkuasa agar bertindak proaktif melalui pendidikan literasi agama, pemantauan sosial serta penguatkuasaan undang-undang bagi membendung penularan kultus yang dilihat semakin mengancam keharmonian dan keselamatan negara.








