Anggap Nurul Izzah Nepotisme, Itu Hujah Orang Malas Berfikir – Fahmi

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dakwaan pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR adalah amalan nepotisme merupakan hujah yang tidak berasas dan datang daripada mereka yang malas berfikir.

Memetik Sinar Harian, Fahmi berkata, Nurul Izzah sememangnya layak bertanding jawatan tersebut berdasarkan pengalaman luasnya sebagai Ahli Parlimen dan Naib Presiden PKR.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa pencalonan Nurul Izzah adalah sebahagian daripada strategi untuk menjadikannya Perdana Menteri wanita pertama Malaysia pada masa hadapan.

“Kita belum sampai ke tahap itu, apa yang penting, pemilihan kali ini adalah satu proses peremajaan parti dengan keperluan PKR mengumpulkan sebanyak mungkin kekuatan dan tenaga baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif Interviu bersama Sinar Harian pada Jumaat.

Fahmi turut berkata, pencalonan Nurul Izzah tidak bermaksud Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah memberi laluan mudah kepadanya untuk menang jawatan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengesahkan bahawa beliau akan bertanding jawatan Ahli MPP dalam pemilihan kali ini dengan harapan dapat menggunakan pengalamannya sebagai Ketua Penerangan dan Pengarah Komunikasi PKR untuk memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi menjelang PRU-16.

Anda Mungkin Berminat