Anggota ATM Wajar Dihormati, Dihargai – TMJ

JOHOR BAHRU: Setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar dihormati dan dihargai atas pengorbanan serta khidmat mereka dalam mempertahankan negara, titah Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail.

Baginda menegaskan sokongan penuh terhadap ATM termasuk latihan dan eksesais ketenteraan yang dijalankan di Johor, yang dianggap penting bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi dan keupayaan pertahanan negara.

“Segala pengorbanan, dedikasi dan khidmat yang dicurahkan oleh anggota ATM dalam mempertahankan negara hendaklah sentiasa dihormati dan dihargai.

“Anggota tentera tidak seharusnya berdepan halangan yang tidak perlu dalam melaksanakan latihan serta eksesais operasi yang amat penting demi pertahanan dan kesiapsiagaan negara,” titahnya.

Baginda turut bertitah, tidak sepatutnya wujud layanan berat sebelah terhadap mana-mana unit atau rejimen tertentu kerana setiap individu yang menyarung uniform berkhidmat dengan penuh kehormatan, kesetiaan dan pengorbanan.

Selain anggota yang masih berkhidmat, sokongan Baginda juga meliputi mereka yang telah bersara atau bakal bersara.

“Pintu Johor akan sentiasa terbuka buat mereka sebagai tanda penghargaan terhadap segala pengorbanan dan jasa yang tidak ternilai kepada negara,” titahnya.

Tunku Mahkota Ismail turut melahirkan rasa dukacita terhadap pihak tertentu yang cuba mempergunakan institusi ketenteraan demi kepentingan peribadi atau sekadar meraih populariti di media sosial, sambil menegaskan perlunya kefahaman mendalam terhadap Perlembagaan Persekutuan dan realiti perkhidmatan ketenteraan.

Anda Mungkin Berminat