JOHOR BAHRU: Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa memainkan peranan aktif dalam memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan kepimpinan sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua, menurut Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh.
“Seluruh dunia melihat kepada kepimpinan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari cabaran yang diwarisi hingga kepada kejayaan yang sedang dibina.
“Kita harus bina keyakinan dan tegas bahawa PMX mesti terus memimpin untuk masuk ke penggal kedua.
“Kita adalah penggeraknya, kita semua adalah agen-agen untuk memastikan agenda ini berlaku,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Berjaya Waterfront Hotel, malam tadi.
Beliau turut menjelaskan bahawa slogan Malaysia MADANI bukan sekadar retorik, sebaliknya harus diterjemahkan dalam tingkah laku dan setiap keputusan yang dibuat.
Dalam memastikan momentum itu berterusan, Fuziah menyeru supaya dasar dan tindakan kerajaan mencerminkan agenda Malaysia MADANI secara jelas dan berkesan.
Katanya, bukti kejayaan ekonomi negara juga terserlah melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama 2025 yang mencatatkan peningkatan 4.4 peratus yang menunjukkan landasan ekonomi yang kukuh.
“Ini hasil kestabilan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Anwar) dan kita semua perlu terus bekerja keras mengangkat agenda beliau,” ujarnya lagi.