Oleh: Haikal Tajuddin
SETELAH sekian lama menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita sejak 2011, penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak tampil menjelaskan situasi terkininya.
Anita, 72 turut berkongsi gambar terbaharunya bersama suami, Mahathir Abdullah menerusi adik angkatnya yang juga bekas wartawan hiburan, Shuib Taib yang berhubung secara peribadi dengannya yang kini menetap di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Gambar tersebut kemudian dikongsi oleh bekas editor hiburan, Roslen Fadzil di media sosialnya.
“Oktober lalu, Abang Slen diminta membantu seorang promoter konsert untuk mendapatkan Superstar Anita Sarawak yang kini menetap di Amerika Syarikat.
“Ini kerana promoter berkenaan berhasrat menganjurkan sebuah konsert mega tribute buat komposer legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Lumpur sekitar 2025.
“Lantaran Anita menjadi salah seorang bintang handalan yang turut tersenarai dalam kertas cadangan itu untuk beraksi dalam konsert mega itu bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap oleh Adnan,” kongsinya di Instagram pada Selasa.
Bagaimanapun, Roslen menyatakan kehampaanya setelah mendapat jawapan daripada Mahathir melalui Whatsapp mengenai penolakan Anita terhadap jemputan itu.
“Hai Shuib. Terima kasih kerana menghubungi. Apabila saya memaklumkan kepada kak (Anita) tentang konsert tribute Adnan, kak merasa begitu sedih, terkenangkan waktu yang pernah dikongsi bersama Adnan, salah seorang produser terbaik sepanjang zaman.
“Harap kirimkan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan beritahu mereka bahawa mereka seharusnya berbangga dengan baka unik ayah mereka itu.
“Berhubungan undangan persembahan itu, kak ingin mengucap jutaan terima kasih atas tanda ingatan terhadapnya.
“Seperti yang diketahui, kak sudah pun bersara ke arah kehidupan yang berbeza, lebih privasi dan selesa dengan situasi sekarang,” tulisnya dalam pesanan WhatsApp kepada Roslen.
Anita Sarawak atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib adalah anak kelahiran Singapura, namun kampung halamannya terletak di Malaysia, Temerloh Pahang.
Dia juga antara penyanyi Melayu yang berjaya melahirkan album solo di setiap empat dekad, sejak tahun 1953.
Namun begitu, penyanyi tersebut menghilangkan diri seakan-akan misteri.
Menerusi foto berkenaan menangkis pelbagai telahan ramai bahawa penyanyi Akhirnya Kini Pasti dan Seksis itu dikaitkan dengan masalah kesihatan termasuk penyakit kanser. Namun, Anita kelihatan kekal ceria, jelita dan sihat.
Baca juga: