Oleh: Aliyaa Azmi
PELAKON muda berbakat, Anna Jobling, melakar pencapaian membanggakan apabila tercalon dalam kategori Outstanding Asian Star–Malaysia di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.
Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25 menerima pencalonan itu hasil lakonannya dalam drama popular TV3 slot Akasia, Hai Cinta, Dengarkanlah.
“Saya benar-benar terkejut dan terharu dengan pencalonan ini. Ia satu penghormatan besar bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk seluruh pasukan produksi Hai Cinta, Dengarkanlah,” katanya.
Anna turut menzahirkan penghargaan buat keluarga, pasukan produksi dan peminat yang menjadi tulang belakang sepanjang kariernya.
“Sokongan mereka adalah sumber kekuatan saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia,” ujarnya lagi.
SDA 2025 bakal berlangsung pada 2 Oktober di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, dengan menyaksikan persaingan sengit antara bintang-bintang ternama dari Jepun, China, Thailand, Filipina dan negara Asia lain.
Untuk kategori berkenaan, pemenang ditentukan sepenuhnya menerusi undian global melalui aplikasi IDOL CHAMP.
Tahun lalu, pelakon Malaysia Siti Saleha berjaya mencipta sejarah apabila merangkul trofi dalam kategori sama, sekaligus membuka laluan buat bakat tempatan terus diiktiraf di pentas antarabangsa.
Baca juga: