Annuar Musa bukan panglima tapi Jebat – Puad

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyindir Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang sebenarnya lebih mirip Hang Jebat berbanding seorang panglima.

Beliau membidas Annuar yang mengangkat dirinya sendiri sebagai panglima UMNO Kelantan dengan pengalaman 37 tahun sebagai Ketua Bahagian dan 28 tahun sebagai Ahli MKT.

“Panglima tidak akan lari apatah lagi tikam parti dari belakang. Sepatutnya Nik Abduh masukkan Annuar dalam senarai Hang Jebat setaraf Jelani.

“Dia puji dirinya banyak buat jalan di Gua Musang. Sedangkan dia banyak kontroversi. Digantung oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) 30 bulan. Digantung Pengerusi MARA (Majlis Amanah Rakyat). Termasuk isu PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) Kelantan,” tulisnya di Facebook pada Khamis.

Puad turut menyifatkan Annuar sebagai talam dua muka dengan memutar belit isu Muafakat Nasional (MN). Malahan tindakan Annuar yang cuba menjadi hero berkaitan isu Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan status Rome juga turut dipersoalkan.

“Dia tunjuk hero isu ICERD dan Statut Rome. Kenapa tidak belasah Saifudin Abdullah yang ada di atas pentas ketika itu. Dialah Menteri yang mahu ICERD dan Statut Rome diritifikasi. 

“Dalam masa sama, Annuar main isu tanah Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) walhal dia pernah menjadi Menteri Luar Bandar dimana Kesedar merupakan jagaan bawahannya. Jawablah isu dibangkitkan oleh ADUN Galas?” soalnya lagi.

Tidak hanya itu, Puad turut mempersoalkan mengenai syarikat yang baru sahaja berdaftar tetapi mendapat projek ladang hutan di HSK Perias Hulu Nenggiri Mukim Bertam seluas 202 hektar.

“Malah, rakyat Nenggiri masih tidak dapat geran tanah selama bertahun-tahun sedangkan ia merupakan kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Anda Mungkin Berminat