Annuar Musa Kembali Pimpin Bola Sepak Kelantan

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa kembali menerajui bola sepak Kelantan apabila dilantik sebagai Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan-TRW), berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu diumumkan oleh beliau sendiri dalam sidang akhbar rasmi di Stadium Sultan Muhammad IV yang menandakan langkah baharu dalam usaha menghidupkan semula kegemilangan bola sepak negeri itu.

Menurut Annuar, beliau menerima tawaran tersebut minggu lalu tetapi mengambil sedikit masa untuk memahami sepenuhnya keadaan semasa pasukan serta landskap bola sepak Kelantan.

“Selepas mendengar taklimat dan melihat keperluan memulihkan semula pasukan, saya bersetuju menerima tanggungjawab ini,” katanya memetik laporan media tempatan.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan dan menyuarakan hasratnya untuk mengembalikan era gemilang bola sepak Kelantan seperti zaman kemuncaknya dahulu.

Tambah beliau, kedudukan semasa pasukan tidak mencerminkan potensi sebenar dan beliau optimis bahawa Kelantan-TRW mampu bangkit dengan perancangan yang lebih sistematik.

“Untuk permulaan, saya sasarkan Kelantan-TRW berada dalam kelompok 10 terbaik dan mampu bersaing dengan pasukan besar dalam Liga Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa persiapan pasukan kini sudah mencapai tahap 90 peratus dan menaruh keyakinan tinggi terhadap kebangkitan skuad dari Pantai Timur itu.

Anda Mungkin Berminat