Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa digesa memberi penjelasan berhubung kemelut yang menimpa Kampung Sungai Baru.
Gesaan itu dinyatakan oleh Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) Syed Badli Shah Syed menerusi kenyataan media hari ini yang turut berkata Annuar Musa seharusnya memikul tanggungjawab terhadap kemelut itu kerana kelulusan pewartaan Akta Pengambilan Tanah berlaku ketika beliau berkuasa.
“Adalah pengecut jika beliau terus mendiamkan diri sedangkan aktivis-aktivis pembangkang terus digerakkan untuk menyerang Kerajaan Madani dalam isu ini,” katanya.

Syed Badli yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa mempersoalkan bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada Jun 2021 sedangkan ketika itu negara masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan parlimen juga tidak bersidang.
“Adalah agak pelik sekiranya menteri tidak mengetahui tentang pewartaan ini seperti mana yang dijelaskan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim yang menuding jari kearah Ketua Setiausaha Negara.
“Bagaimana seorang menteri boleh berlepas tangan dengan menyalahkan eksekutif, sedangkan eksekutif hanya menjalankan tugas tanpa melangkaui kuasa menteri,” soalnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan kepada blok pembangkang untuk berhenti menggunakan watak-watak tertentu yang selaras dengan naratif bagi menyalahkan Kerajaan Madani kerana kemelut itu jelas berpunca ketika mana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah.
“Justeru itu saya menggesa Tan Sri Annuar Musa untuk tampil beri penjelasan dan bukannya terus menerus mendiamkan diri seperti seorang pengecut,” katanya.
Baca juga:








