Oleh: Amin Ahmad
ULASAN | Mutakhir ini muncul semula wacana tentang kos pilihan raya dan pendapatan wakil rakyat yang disifatkan kaya. Ia bukan wacana baru. Malangnya, tidak ada yang baru dalam kandungannya.
Kos pilihan raya di sini merujuk kos bagi seseorang calon atau parti yang mahu bertanding. Kos SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan agensi berkaitan berbeza pula. Pilihan raya, di sesetengah negara, adalah sejenis industri tersendiri.
Kos pilihan raya memang tinggi. Dr Marzuki, pensyarah sains politik UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) yang juga mantan Setiausaha Politik dan mantan KSUS Mahiaddin Yassin menjelaskan secara umum perbelanjaan sebanyak RM1 juta bagi sebuah Parlimen itu pun hanya asas.
Saya percaya ramai daripada kami hanya boleh tersenyum. Asas bagi mereka mungkin siling bagi kebanyakan kami. Tidak terbayang ada duit sebanyak itu untuk dihanguskan dalam belanja politik seseorang. Mungkin situasi kita tidak sama.
Sebab itu saya tahu ramai terkejut bila saya hanya berbelanja tidak lebih RM70,000 pada tahun 2018. Bukan kedekut, tetapi memang tidak ada dana besar. Mujur parti menanggung sebahagian besar kos logistik. Dan saya sedar memang ada pengundi yang tidak berminat memilih calon tidak berduit kerana berpandangan “macam mana mereka mahu tolong kita?” kerana kekurangan tersebut.

Had siling calon Parlimen
Dan sebab itu, meskipun ada sesetengah pihak meremehkan sumbangan Tun Mahathir dalam kemenangan 2018, saya tetap berterima kasih kepada beliau. Tambahan pula kerana Langkawi bersebelahan Kangar. Tempiasnya ada. Saya boleh berbeza pandangan dengan beliau dan pada masa yang sama mengakui sumbangannya. Bukan satu masalah.
Had siling perbelanjaan seorang calon pilihan raya ada dalam Akta. Seingat saya bagi calon Parlimen hanya RM200,000 sepanjang tempoh kempen. Dan kita tahu ada ‘loopholes’ misalnya perbelanjaan parti bukan perbelanjaan calon.
Kos pilihan raya ini adalah sebahagian daripada ekosistem terkait dengan wakil rakyat. Memang ada wakil rakyat boleh dilantik melalui cara lain misalnya pelantikan senator atau di beberapa negeri ada tambahan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri). Tetapi umumnya wakil rakyat dipilih melalui pilihan raya.
Jika dinilai pendapatan asas seorang ahli Parlimen katakan RM16k sebulan x 12 bulan x 5 tahun penuh, jumlahnya adalah sekitar RM960,000. Tidak cecah RM1 juta pun. Kebanyakan elaun adalah hangus – panggilan telefon, pengangkutan dan keraian (bukan hiburan sebagaimana difahami sesetengah orang yang boleh memberi gambaran salah. ‘Entertainment’ di sini merujuk kepada keraian. ‘Entertain’. Jumpa orang belanja makan-minum. Lihat semula kos pilihan raya dan pendapatan asas, boleh dikatakan tidak menguntungkan.
Sebab itu saya bersetuju dengan kenyataan Rafizi Ramli dalam satu podcast-nya yang menyebut pendapatan ahli Parlimen tidak boleh menjadikan mereka kaya. Saya setuju kerana telah melaluinya. Hidup senang sikit tetapi tidak boleh kaya. Jika tambah komitmen besar, silap-silap bergolok-bergadai.
Bayangkan, mereka yang berbelanja besar kemudian kalah? Lebih merugikan. Ini pun telah saya lalui. Hari ini kau mungkin calon pilihan raya, minggu depan tiba-tiba kau menganggur.
Tetapi itulah kos masuk politik. ‘Cost of entry’. Jika dipilih menyertai badan Legislatif, bolehlah balik modal dan senang sedikit, bukan kaya. Ia tidak sama dengan ‘cost of entry’ penjawat awam sebab itu perbandingannya tidak begitu tepat. Kau tak perlu dapatkan undian puluhan ribu atau ratusan ribu orang untuk memohon menjadi penjawat awam. Kau tidak akan dinilai lima tahun sekali untuk terus bekerja.

Kos jadi orang politik
Ada sebab kenapa perkhidmatan wakil rakyat hanya lima tahun sekali kemudian perlu dipilih semula. Jumlahnya tidak ramai dan kuasa besar diberikan dengan risiko tersendiri. Ia adalah sebahagian daripada aturan sistem. Jika hanya nak cakap pasal duit, ia semacam ‘high risk’, ‘high returns’ walaupun contoh ini sebenarnya tidaklah tepat sangat.
Saya berpegang kepada pandangan ahli Parlimen diberikan pencen dan formula siling semasa adalah munasabah dan boleh disemak setiap 10 tahun sekali manakala menteri kabinet diberi gaji lebih tinggi dan hanya diberikan caruman KWSP sepanjang mereka memegang jawatan.
Tengku Razaleigh, ahli Parlimen paling lama di dunia, hanya baru menikmati pencennya selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat selepas 2022. Pencen wakil rakyat Tun M semasa berhenti pada tahun 2003, lebih kecil daripada ramai penjawat awam pengurusan. Tapi pencennya sebagai PM yang tinggi. Pencen wakil rakyat Syed Saddiq, yang hanya akan diterima sekitar 20 tahun lagi, mungkin termasuk dalam kalangan B40 pada masa itu.
Saya tahu ramai orang politik terutama yang pernah atau masih jadi wakil rakyat lebih suka berdiam dalam hal ini. Tidak mungkin ‘menang’ dengan mereka yang mempertikaikan. Tetapi saya percaya semua perkara dalam dokumen Belanjawan memang boleh dibincang. Orang boleh semudahnya menuduh saya ‘bias’ dalam pandangan tertentu mengenai isu ini. Tidak ada masalah.
Di mana-mana di dunia ini, wakil rakyat mungkin menang undi popular untuk terpilih. Ironinya, orang politik umumnya sering dipandang sebagai kerjaya yang kurang dipercayai. Ia adalah sebahagian kos menjadi orang politik yang ramai tidak berani melakukannya.
Saya hanya boleh mengajak diri sendiri dan mereka yang berminat untuk memahami sistem secara keseluruhannya dan sama-sama cuba memperbaikinya dari semasa ke semasa. Bukan mengulang wacana hanya untuk melampiaskan marah dan tidak tahu kenapa tidak ada perubahan berlaku.
***Penulis adalah bekas ahli parlimen Kangar dan juga Pengerusi PKR Perlis
Baca juga:








