PETALING JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Naruhito sebagai satu penghormatan besar yang bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada seluruh rakyat Sarawak yang menjadi nadi kepada kejayaan negeri itu di pentas dunia.
Pengiktirafan tertinggi daripada Kerajaan Jepun itu, katanya, mencerminkan keyakinan dan penghargaan masyarakat antarabangsa terhadap usaha berterusan Sarawak dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serta menerajui bidang tenaga baharu dan teknologi masa depan.
“Saya dengan rendah hati mengucapkan terima kasih atas penganugerahan ini.
“Saya berkesempatan bertemu dan berbicara dengan Maharaja Jepun dan baginda menyatakan rasa bangga terhadap hubungan baik antara Malaysia dan Jepun.
“Saya turut memperkenalkan Sarawak kepada Baginda (Maharaja Jepun) yang telah mengetahui mengenai usaha pembangunan ekonomi baharu yang kita laksanakan di negeri kita,” katanya memetik laporan TVS pada Selasa.
Premier Sarawak menambah, pengiktirafan itu membuktikan bahawa dasar-dasar pembangunan negeri khususnya dalam bidang ekonomi hijau dan kelestarian alam yang kini mendapat perhatian dan pengiktirafan global.
“Yang penting ialah mereka mengiktiraf bahawa Sarawak sedang bergerak ke arah ekonomi baharu dalam era baharu ini.
“Kita bersama dengan negara-negara yang meneroka dasar yang memberi kelebihan kepada kelestarian alam dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau turut berharap anugerah berprestij itu menjadi inspirasi kepada generasi muda Sarawak untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
“Saya bersyukur kerana saya satu-satunya penerima dari Pulau Borneo dan tidak ramai yang mendapat pengiktirafan ini.
“Ini bermakna jika anak Sarawak fokus kepada bidang-bidang baharu dan mencapai kejayaan, dunia akan mengiktiraf kita,” katanya.







