Anwar Adakan Lawatan Rasmi Ke Tiga Negara Afrika

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal melaksanakan satu lawatan rasmi bersejarah ke tiga buah negara di benua Afrika iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bermula 18 hingga 24 November ini.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, lawatan tersebut akan menekankan pengukuhan hubungan diplomatik selain membuka peluang perdagangan dan pelaburan baharu bagi Malaysia.

“Penglibatan perniagaan dalam lawatan ini adalah untuk memacu hubungan ekonomi dan pelaburan baharu di rantau Afrika.

“Ketiga-tiga pasaran menawarkan peluang kerjasama yang luas sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa,” katanya pada Sidang Media Taklimat Harian Perdana Menteri pada Isnin.

Beliau memaklumkan, rombongan Perdana Menteri bersama wakil perniagaan Malaysia dan delegasi rasmi akan menaiki penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines.

Agenda di Ethiopia
Lawatan akan bermula di Addis Ababa, Ethiopia dengan kunjungan hormat Anwar ke atas Presiden Taye Atske Selassie.

Kedua-dua pemimpin dijadual menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia–Ethiopia bagi meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.

“Kemudian, tumpuan akan diberikan kepada pertemuan bersama Perdana Menteri Dr Abiy Ahmed Ali, di mana perbincangan dua hala akan menata agenda kerjasama strategik, disusuli dengan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU),” ujarnya.

Selain itu, Anwar turut dijadual menyampaikan syarahan umum kepada belia Afrika serta bertemu Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, TYT Mahmoud Ali Youssouf, sebagai usaha memupuk hubungan belia Asia–Afrika.

Anwar akan meneruskan perjalanan ke Johannesburg, Afrika Selatan, dari 20 hingga 23 November.

Di sana, beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 2025 dan menyuarakan pandangan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Kehadiran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan merangkul suara 650 juta rakyat ASEAN dan mewakili aspirasi rantau Asia Tenggara dalam isu-isu berkepentingan,” katanya.

Selain menghadiri persidangan G20 dan bertemu Presiden Cyril Ramaphosa, Anwar juga akan menyertai forum perniagaan bersama pemain industri Afrika Selatan, berdialog dengan pemimpin komuniti Islam setempat serta menyantuni warga Malaysia di negara itu.

Rombongan Perdana Menteri dijadual menamatkan lawatan pada 25 November.

“Kerajaan Madani menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya ini akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Perdana Menteri turut memohon doa dan sokongan padu rakyat Malaysia agar setiap rundingan dan perjumpaan dipermudah dan setiap hasilnya kelak benar-benar membawa manfaat yang mampu dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat