PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi pertama bagi tahun 2026 ke Republik Turkiye dari 6 hingga 8 Januari, sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Dalam sidang media Taklimat Pejabat Perdana yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, beliau berkata, lawatan itu akan menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama strategik Malaysia–Turkiye.
Beliau berkata, Perdana Menteri dijadualkan bertemu Presiden Recep Tayyip Erdogan serta bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi antara kedua-dua negara.
“Penubuhan mekanisme ini mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Türkiye dalam mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya pada Isnin.
Lawatan rasmi itu turut merangkumi perbincangan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan antara rakyat.
Selain itu, Anwar juga dijadual menyampaikan syarahan umum serta mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Turkiye dan diaspora Malaysia.
Program rasmi di Ankara akan memberi tumpuan kepada agenda strategik, manakala di Istanbul, Perdana Menteri akan menghadiri sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi.
Beliau turut dijangka berinteraksi dengan media untuk menjelaskan hala tuju hubungan Malaysia–Turkiye.
Dalam kenyataan sama, Pejabat Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan terhadap usaha Kerajaan MADANI sepanjang tahun 2025.
“Tahun lalu merupakan tahun yang mencabar namun bermakna, menyaksikan pelaksanaan pelbagai inisiatif reformasi dan dasar yang bertujuan memperkukuh tatakelola, merancakkan ekonomi serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.
Memasuki tahun 2026, Kerajaan MADANI menekankan pelaksanaan dasar yang lebih tersusun, pantas dan berkesan.
“Malah bermanfaat yang lebih nyata dan jelas dirasai segenap lapisan rakyat.
“Pendekatan ini menuntut disiplin pelaksanan, penyelarasan yang lebih pantas antara agensi serta penekanan kepada keberkesanan di lapangan,” katanya.








