Anwar Ajak Rakyat Nilai Hasil Perubahan Negara Melalui Program Rancakkan MADANI

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat hadir ke Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku bagi menilai sendiri pencapaian tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang bermula sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Program yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad di Dataran Putrajaya itu menjadi wadah terbuka untuk rakyat melihat usaha pembaikan yang sedang dilaksanakan kerajaan, merangkumi pengukuhan ekonomi, kebajikan rakyat serta hala tuju pembangunan negara.

“Program ini ruang terbuka untuk meninjau hasil kerja yang sedang berjalan dan menilai perubahan yang berlaku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beserta poster program.

Anwar turut menggalakkan orang ramai hadir bersama keluarga dan rakan bagi merancakkan gelombang usaha MADANI.

“Kehadiran kalian bukan sekadar melihat pencapaian tetapi untuk menyatakan pandangan, kritikan dan harapan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu terus bergerak berasaskan nilai ihsan, kekuatan ekonomi dan keadilan untuk semua lapisan rakyat, selari dengan aspirasi MADANI yang menekankan kesejahteraan inklusif.

Program itu bukan sekadar pameran pencapaian tetapi platform libat urus rakyat yang menampilkan pelbagai inisiatif kerajaan sepanjang tiga tahun pentadbiran.

Kehadiran Perdana Menteri bersama pimpinan tertinggi negara pada Ahad dijangka memperkukuh hubungan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan selain membuka ruang dialog yang lebih dekat dan berkesan.

Majlis itu juga dilihat sebagai simbol keterbukaan Kerajaan MADANI dalam mendengar suara rakyat, menilai keperluan semasa serta memperkukuh semangat reformasi yang sedang digerakkan demi masa depan negara.

Anda Mungkin Berminat