PETALING JAYA: Dasar sekatan perdagangan bebas bukan sahaja akan memberi kesan kepada Malaysia dan negara Asean lain, tetapi juga kepada ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual TRT World berkata, beliau akan membantah sebarang inisiatif oleh AS yang bertujuan mengenakan tarif ke atas pesaing dan sekutu asing.
“Sejak beberapa dekad yang lalu, Barat telah bercakap tentang perdagangan bebas.
“Kini, ekonomi sedang pesat membangun dan dilihat kukuh, dan tiba-tiba AS mahu mengenakan tarif ini.
“Saya secara prinsip akan membantah perkara ini, tetapi kemudian kita perlu mengharungi perkara itu,” katanya seperti dilapor The Star.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai kemungkinan perang perdagangan dan tarif yang dirancang oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Anwar bagaimanapun memberi jaminan bahawa, Malaysia kekal komited untuk memupuk hubungan dua hala yang kukuh antara AS dan China, di tengah-tengah pertikaian perdagangan dua negara itu yang masih berterusan.
Langkah sama turut akan dilakukan dengan negara Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain seperti Turkiye, India dan Australia.
“Itulah sebabnya kami telah memohon menyertai BRICS untuk menjadi sebuah negara perdagangan yang efektif,” katanya.
Terdahulu, Trump, mengulangi ancamannya untuk mengenakan tarif baharu terhadap EU dan China, sambil menegaskan pentadbirannya sedang membincangkan duti punitif sebanyak 10 peratus ke atas import dari China.
Langkah itu, menurut Trump, berpunca daripada penghantaran bahan fentanyl dari China ke AS melalui Mexico dan Kanada
Trump membuat kenyataan itu kepada media di Rumah Putih, sehari selepas memulakan tugas sebagai presiden tanpa terus melaksanakan tarif yang dijanjikannya semasa kempen pilihan raya.
Pasaran kewangan dan kumpulan perdagangan menarik nafas lega sementara waktu, tetapi kenyataan terbaharu Trump terus menunjukkan hasrat beliau untuk mengenakan duti lebih luas, termasuk menetapkan tarikh akhir baharu pada 1 Februari untuk tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico, selain duti tambahan terhadap China dan EU.