PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, hari ini untuk membincangkan isu pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata, Malaysia mengambil maklum tentang situasi yang sedang berlaku di kedua-dua negara.
“Nanti kita akan keluarkan kenyataan mengenai hasil perbincangan dengan Paetongtarn Shinawatra,” katanya memetik laporan media tempatan.
Pada 28 Mei lalu, berlaku pertempuran singkat antara tentera Thailand dan Kemboja di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand serta Preah Vihear, Kemboja yang mengakibatkan seorang askar Kemboja terkorban.
Susulan kejadian itu, Kemboja mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sementara Thailand pula mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu tersebut secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa dan perjanjian berkaitan.
Malaysia memegang kepengerusian ASEAN bermula 1 Januari 2025, mengambil alih daripada Laos dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang lebih bersatu dan makmur.
Ini merupakan kali kelimanMalaysia menjadi Pengerusi ASEAN, sejak pertama kali memegang jawatan itu pada 1977.