Anwar Arah Henti Sementara Kontrak Perolehan Tentera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan dihentikan sementara bagi memberi ruang proses berkenaan disemak dan diperkemas agar mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang.

Beliau berkata, meskipun kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), langkah menyeluruh perlu diambil bagi mengelakkan ketirisan dan salah guna kuasa.

“Semua proses perolehan mesti dikaji dan dipinda. Jika perkara ini tidak ditangani secara serius, kesannya akan menjejaskan ekonomi dan rakyat.

“Setiap RM10 juta atau RM20 juta yang diambil secara tidak sah sepatutnya dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan angkatan tentera atau membiayai projek kecil lain,” katanya dipetik FMT.

Isu perolehan ketenteraan kini menjadi perhatian susulan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan beberapa pegawai kanan khususnya berkaitan projek serta tender.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya akan mencadangkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa pegawai kanan hasil siasatan melibatkan seorang pegawai tertinggi angkatan tentera serta kartel yang dikaitkan dengan kontrak perolehan.

Menurut beliau, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah RM1.3 juta, mata wang asing bernilai RM721,000 dan 66 kepingan emas bernilai kira-kira RM1.7 juta.

Turut dibekukan ialah akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM4.7 juta.

Tambah beliau, siasatan kes berkenaan bersifat sensitif kerana melibatkan nilai kewangan yang besar serta kedudukan tinggi individu terlibat.

Anda Mungkin Berminat