PORT DICKSON: Dalam lawatan ke Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat singgah menziarahi sebuah keluarga asnaf yang diuji dengan pelbagai kesusahan hidup.
Keluarga saudari Faridah Abbas bukan sekadar berdepan kemiskinan, malah kehidupannya berubah drastik apabila suami tercinta, Mohamad Ali Abdul Malek, terlantar akibat serangan strok sejak tahun lalu.
Kini, Faridah terpaksa menjadi tulang belakang keluarga, membesarkan empat anak sambil menjaga suami yang uzur.
“Saya dan Azizah amat tersentuh melihat penderitaan yang ditanggung Faridah sekeluarga. Kami tahu beban ini bukan ringan,” kata Anwar selepas pertemuan itu.
Bagi meringankan beban yang ditanggung, Anwar telah mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk segera membantu keluarga berkenaan.
Antara bantuan segera yang diumumkan ialah penyediaan kiosk perniagaan bagi membolehkan Faridah menjana pendapatan melalui jualan kuih-muih dan pisang goreng.
Selain itu, kawasan hadapan rumah mereka juga akan diratakan bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada keluarga tersebut.
“Dengan hati berat kami tinggalkan mereka, namun kami doakan semoga ihsan dan bantuan ini menjadi titik mula bagi meringankan beban hidup Faridah dan anak-anaknya. Insya-Allah, akan terus kita bantu sedaya mampu,” tambah Anwar.
Lawatan ini menjadi bukti pendekatan turun padang yang dibawa di bawah kerangka Malaysia MADANI, menekankan nilai empati dan keprihatinan terhadap golongan paling memerlukan.
Baca juga: