PETALING JAYA: Pemaju projek Residensi Aman Lumayan Madani, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta pihak berkaitan diarah untuk bertemu Perdana Menteri pada hari Isnin depan bagi membentangkan semula pelan terkini projek perumahan tersebut.
Arahan itu dibuat susulan ketiadaan perancangan kemudahan pendidikan seperti sekolah dan tadika dalam pelan asal projek yang dibangunkan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap projek perumahan rakyat perlu dirancang secara menyeluruh, bukan sekadar menyediakan unit kediaman.
“Tak perlu lama, cukup 10 minit. Tunjukkan kepada saya di mana lokasi sekolah, tadika, prasekolah dan blok fasiliti kesihatan.
“Ini projek besar. Saya mahu konsep yang menepati keperluan rakyat dilaksanakan bukan hanya untuk projek yang saya pantau sendiri tetapi untuk semua,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu, hari ini.
Projek Residensi Aman Lumayan yang dibangunkan oleh Danau Lumayan Sdn Bhd melibatkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.01 bilion dan merangkumi 3,438 unit kediaman mampu milik, masing-masing berharga RM300,000.
Anwar turut meluahkan rasa kurang puas hati terhadap ketiadaan sekolah berhampiran projek berskala besar itu.
Beliau mencadangkan agar satu blok kediaman dijadikan sekolah menegak lengkap dengan lif khas, sekiranya tiada tanah yang sesuai di sekitar kawasan tersebut.
“Ramai yang gaji RM2,000 atau RM3,000 sebulan. Takkan nak suruh hantar anak ke tadika yang terletak beberapa kilometer dari rumah?” katanya, merujuk kepada keperluan menyediakan tadika dalam bangunan projek itu.
Sebagai tambahan kepada unit kediaman, projek Residensi Aman Lumayan turut merangkumi pelbagai kemudahan lain termasuk kolam renang, taman tema kanak-kanak, surau, dewan serbaguna dan 18 gerai Madani yang disediakan untuk usahawan tempatan.








