PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan beberapa perkembangan penting berkaitan hubungan luar dan isu perkhidmatan awam dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan terdapat isyarat positif dari Bangkok dan Phnom Penh berhubung usaha meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, hasil komunikasi langsung beliau dengan kedua-dua pemimpin negara itu.
Pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja juga menunjukkan kesediaan untuk mencari jalan penyelesaian dan meminta Wisma Putra meneliti dan memberikan maklumat terkini hasil daripada perbincangan di antara kedua-dua pihak.
Dalam isu perkhidmatan awam pula, Anwar mengarahkan agar proses pengisian 4,000 kekosongan jawatan doktor dipercepatkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negara.
“Saya dimaklumkan ia dijangka selesai pada bulan November, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan itu terlalu lewat. Proses mesti disegerakan tanpa menjejaskan prosedur sedia ada,” tegasnya.
Beliau menambah, kerajaan komited memastikan keperluan rakyat dipenuhi tanpa kelewatan, terutama dalam sektor kritikal seperti kesihatan awam dan keselamatan serantau.
Baca juga: