Anwar: Asia Perlu Jadi Enjin Pertumbuhan Global, Bina Masa Depan Bersama

TIANJIN: Asia perlu mengambil peranan lebih besar sebagai enjin pertumbuhan global bagi membentuk masa depan yang terbuka, stabil dan saling menghormati, sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai hab ekonomi utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan negara-negara Asia memikul tanggungjawab untuk menyusun semula ekonomi serta memperkukuh kerjasama demi menjamin keadilan dan kemakmuran bersama.

“Kita mesti menolak tanggapan bahawa dunia hanya ada pilihan untuk berpecah kepada blok-blok tertentu. Sebaliknya, kita boleh memilih untuk bekerjasama tanpa halangan dan bergantung antara satu sama lain,” katanya pada Isnin.

Menurut beliau, China sebagai kuasa besar mempunyai peranan unik yang akan menentukan keterbukaan, kestabilan dan keterangkuman rantau ini. Malaysia pula, ujarnya, akan terus menonjolkan keyakinan kepada pelabur dengan sikap terbuka, namun tidak naif.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk “Saling Bergantung dan Berdaulat: Membina Masa Depan Bersama di Asia” di Universiti Tianjin, yang terkenal dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan sains.

Turut hadir, lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar, ahli akademik serta wakil kumpulan pemikir. Universiti Tianjin juga mempunyai kerjasama berkembar dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam bidang kejuruteraan kimia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat