PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan doa agar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad segera sembuh dan kembali sihat.
Perkara itu dikongsikan Anwar menerusi satu hantaran ringkas di laman rasmi Facebook beliau pada Selasa.
“Saya dan Azizah mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, Insya-Allah,” katanya.
Doa tersebut hadir susulan keadaan terkini Dr Mahathir yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sekitar pukul 9.30 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff, mengesahkan perkara itu melalui saluran kumpulan media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp.
Menurut Sufi, pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN dengan ambulans dan kini dilaporkan dalam keadaan sedar.
“Beliau (Mahathir) telah terjatuh pada awal pagi tadi dan pada kebiasaannya, perkara itu memerlukan pemerhatian lanjut di hospital.
“Saya difahamkan beliau telah terjatuh ketika bergerak dari satu bahagian di balkoni rumah untuk ke ruang tamu,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan terkini mengenai Dr Mahathir akan dimaklumkan selepas selesai menjalani pemeriksaan oleh pakar IJN.
Dr Mahathir, yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, sebelum ini turut dirawat di IJN pada 13 Julai tahun lalu akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari yang sama.








