CEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Cebu hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 serta mesyuarat berkaitan dalam lawatan rasmi selama dua hari.
Pesawat khas yang membawa Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Pangkalan Udara Brigadier General Benito N. Ebuen pada pukul 1.50 tengah hari waktu tempatan, yang sama dengan waktu di Kuala Lumpur.
Ketibaan mereka disambut mesra oleh Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Sharon S. Garin; Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro; serta Datuk Bandar Lapu-Lapu City, Cynthia King-Chan. Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Perdana Menteri kemudiannya menerima kawalan kehormatan yang diketuai Brigadier Jeneral Joseph Archog, Komander Sayap Tentera Udara Filipina bagi Sayap Pengangkutan Udara ke-220.
Sambutan turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional Filipina di pangkalan udara berkenaan.
“Mabuhay ang Pilipinas! Penyertaan Malaysia dalam sidang kali ini penting bagi membincangkan isu bekalan tenaga global serta memperkukuh semangat ASEAN sebagai sebuah keluarga serantau yang bersatu dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, sidang kemuncak itu menjadi wadah penting untuk Malaysia berkongsi pandangan mengenai pembinaan Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan.
Perbincangan dijangka menumpukan kepada kesan krisis di Asia Barat terhadap Asia Tenggara, tindak balas ASEAN dalam memastikan keterjaminan tenaga dan makanan serantau serta keselamatan warga ASEAN di kawasan terjejas.
Filipina kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas mengambil alih daripada Malaysia pada 1 Januari 2026.








