Anwar Bakal Bertemu Trump, Usaha Buka Laluan Bantuan Ke Gaza

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan penting dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang akan tiba di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Pertemuan tersebut dilihat sebagai langkah strategik dalam usaha Malaysia memperkukuh peranan diplomatiknya bagi menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Menurut Anwar, dialog dengan pemimpin kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat amat penting untuk memastikan serangan berterusan dapat dihentikan dan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lebih lancar.

“Dalam masa yang sama, pertemuan saya kelak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog terus kekal serta membuka laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza,” katanya dalam satu hantaran pada Selasa.

Anwar turut menegaskan bahawa meskipun pertemuan itu bukanlah penyelesaian muktamad kepada konflik yang berlaku, ia merupakan titik permulaan penting dalam menggerakkan solidariti antarabangsa demi menegakkan keadilan dan keamanan.

“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, namun ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menzahirkan komitmen kerajaan untuk terus menyokong Misi Global Sumud Flotilla yang kini menghampiri zon merah menuju Gaza.

Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi tersebut bersama sukarelawan dari Turkiye, Itali dan Sepanyol.

“Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan.

“Apa yang utama adalah para perwira ini selamat sampai ke bumi Gaza,” katanya.

Anda Mungkin Berminat