PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat khas sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 30 Ogos ini, bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Majlis itu akan menjadi platform penting bagi menyampaikan hasrat dan harapan kerajaan terhadap kepentingan menghayati semangat perpaduan serta menyemai nilai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, majlis tersebut selaras dengan tema sambutan tahun ini, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, yang menekankan bahawa setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya adalah aset negara yang mesti dihargai dan dirangkul dalam semangat kebersamaan.
“Amanat Perdana Menteri diharap dapat memberi inspirasi baharu kepada rakyat untuk terus bersatu padu, menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta menghayati erti kemerdekaan dalam konteks cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Majlis yang dijadual berlangsung sehari sebelum perarakan rasmi Hari Kebangsaan itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 5,000 tetamu termasuk penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, pelajar sekolah, anggota badan beruniform, mahasiswa, golongan belia, usahawan dan warga kerja swasta.
Dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, majlis amanat itubbukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan tetapi juga memperkukuh nilai kebersamaan yang menjadi teras Malaysia MADANI.
Ia dijangka menjadi detik penting dalam menyatukan suara rakyat menjelang sambutan kemerdekaan ke-68 negara.








