Anwar bangga dijemput Putin ke sidang kemuncak BRICS Plus

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin kerana dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Plus yang berlangsung hari ini.

Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli kerana menjadi wakilnya di sidang kemuncak tersebut yang diadakan di Kazan, Rusia.

“Penghargaan kepada Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin, atas jemputan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS yang baru selesai.

“Terima kasih juga kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang telah mewakili saya ke Kazan bagi menyatakan kebersamaan Malaysia dalam usaha dan upaya kita melonjak kedudukan dan pendirian negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Rafizi Ramli sewaktu menyertai persidangan tersebut, menekankan isu utama yang wajar diberi perhatian adalah krisis kemanusiaan di Gaza.

Beliau menyatakan bahawa kekejaman itu wajar dihapuskan dan Malaysia akan terus komited untuk bersolidariti menentang perkara tersebut ke atas masyarakat Palestin.

Turut diketengahkan adalah peluang sinergi antara ASEAN dan BRICS, terutama Malaysia yang kini memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN.

“Kepimpinan serantau dalam bidang semikonduktor, peralihan tenaga dan kewangan Islam adalah ingin ditonjolkan dalam BRICS.

“Semoga sidang ini dapat membuka ruang diplomasi ekonomi yang membina perkongsian strategik, mengukuhkan hubungan perdagangan serta mampu mengembangkan potensi pertumbuhan,” jelas Rafizi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat