Anwar Batal Lawatan Ke Pahang Akibat Sakit Belakang, Mohon Maaf Kepada Rakyat

PETALING JAYA: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri Pahang yang dijadualkan berlangsung pada Ahad terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas faktor kesihatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, pembatalan tersebut dibuat selepas Perdana Menteri mengalami masalah sakit belakang yang mengehadkan pergerakan beliau.

“Pembatalan saat akhir ini dibuat atas nasihat pasukan perubatan setelah Perdana Menteri mengalami sakit belakang, yang menyebabkan pergerakan terbatas,” menurut kenyataan itu.

Atas nasihat doktor, beliau dinasihatkan untuk mendapatkan rehat yang mencukupi bagi memastikan kesihatan beliau pulih sepenuhnya sebelum kembali menjalankan tugas rasmi.

Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri turut merakamkan permohonan maaf kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.

“Perdana Menteri memohon maaf setulusnya khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau,” kata kenyataan itu lagi.

Lawatan ke Pahang dijangka melibatkan beberapa program bersama rakyat serta pemantauan terhadap projek pembangunan di negeri tersebut.

Pejabat Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas kefahaman dan sokongan rakyat terhadap situasi kesihatan Perdana Menteri, sambil menzahirkan harapan agar beliau segera sembuh dan kembali meneruskan tugas memimpin negara.

Anda Mungkin Berminat