Anwar: Bebas suarakan pendapat, tapi jangan langgar undang-undang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran tegas kepada pihak yang berhasrat menyertai perhimpunan membantah rumah ibadat yang didakwa “haram” malam ini supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengganggu keselamatan awam.

Beliau menegaskan bahawa walaupun rakyat bebas menyuarakan pendapat serta mengkritik kerajaan, sebarang tindakan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum akan dikenakan tindakan tegas.

“Sebab tu semalam dalam mesyuarat jemaah menteri, saya bagi arahan tegas. Menteri Dalam Negeri ada, bagi mesej kepada Ketua Polis Negara, nak bagi pandangan boleh, nak bagi kritikan boleh. Ini negara bebas.

“Tapi kalau ganggu gugat keselamatan negara, kamu percayalah saya akan ambil tindakan maksimun tangkap mereka dan humban mereka,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PKR Selangor, pada Sabtu.

Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan agar isu sensitif tidak dimanipulasi sehingga boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India, sambil menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Dan saya nak ingatkan kepada kawan-kawan kita baik Melayu ke Cina di sini, eh! Cina kurang sikit bab ini, India dan Melayu sensitif bab ini.

“Melayu nak buat masjid sila, dakwah, derma takda masalah dan orang India kawasan dia, jangan ganggu kawasan orang. Tetapi jangan hasut sampai benci satu sama lain. Jangan langgar prinsip undang-undang.

“Tanggungjawab kita pertama keselamatan negara. Boleh bawa memo bantah, sebab apa kuil tak boleh buat di sini-sini, boleh bantah. Tapi kalau gugat keselamatan, cuba hasut, negara takkan selamat.

“Saya tegaskan kawan-kawan India pun ada di sini, saya tegaskan bahawa saya tidak setuju dengan pencambahan kuil-kuil tidak mengikut peraturan ditetapkan. Mesti ikut peraturan.

“Sama seperti masjid atau surau atau gereja, tetapi jangan timbul permusuhan, jangan langgar peraturan. Kalau dah kita langgar, hasilnya kebencian, masalah tak selesai,” katanya lagi.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa perhimpunan yang dirancang berhampiran kompleks beli-belah Sogo tidak dibenarkan diteruskan atas faktor keselamatan awam, walaupun penganjur bertegas mahu meneruskannya.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh gabungan beberapa pertubuhan yang diketuai pendakwah, Zamri Vinoth, dengan tujuan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang didakwa dibina secara tidak sah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat