KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi berkesempatan berbuka puasa bersama mahasiswa universiti awam dan swasta, pelajar Institut Pendidikan Guru serta Politeknik di Kompleks Seri Perdana.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa Ramadan adalah wadah terbaik untuk membentuk peribadi unggul, memperkukuh nilai takwa dan memupuk integriti.
“Ramadan adalah madrasah terbaik untuk membentuk sahsiah, memperkukuh nilai takwa dan memupuk integriti,” katanya.
Anwar turut menyeru mahasiswa agar menjadikan nilai tersebut sebagai kompas moral dalam mendepani cabaran zaman pascanormal selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.
Beliau berkata, negara berhasrat melahirkan generasi berilmu, beradab dan berdaya cipta, menguasai teknologi, AI dan STEAM serta berani menjadi pencipta pekerjaan, bukan sekadar pencari kerja.
Katanya, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerangka STAR juga menjadi tumpuan bagi memastikan pendidikan terus relevan dan inklusif.
Usai solat Maghrib berjemaah, Perdana Menteri turut menyampaikan tazkirah ringkas dan perkongsian kepada anak-anak muda yang hadir.
“Semoga Ramadan ini memperteguh tekad kita membina Malaysia yang lebih maju dan berintegriti,” ujar beliau.








